BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

...Nota Cinta...

Oleh: mushroom16
Editor: fazly_90
"Hari ni, saya menang pertandingan pidato di sekolah. Esok, saya ada lagi pertandingan bahas. Lusa pula, ada persidangan di UIA. Awak jaga diri sementara saya takde ye? Bukan saya tak nak mesej, tapi saya sibuk. Jangan tinggal solat."

Hafiz membaca mesej itu dengan perasaan berbunga. Wardah, gadis yang memang disayanginya dari dulu lagi. Wardah, bagi Hafiz memang sesuai dengan namanya. Wardah memang sekuntum mawar nan indah. Harum mewangi. Sukar didekati dan indah di hati.

Namun Hafiz tidak pernah bertemu Wardah. Sekadar mendengar suaranya yang lunak dan bisa menggugat hati. Bukan dia tidak berkeinginan untuk bertemu, namun tempat tinggal mereka sangat jauh. Mereka berkenalan melalui seorang kawan pada dua tahun lepas.

Wardah tersenyum. Selama 2 tahun perkenalan mereka, Hafiz menjadi permata hatinya. Wardah memang seorang wanita solehah. Namun perkenalannya dengan Hafiz menjadi titik tolak perubahannya. Dia lupa makna zina hati yang dia laungkan pada tazkirah di sekolah. Dia lupa pesan ustazah agar jangan bercinta pada usia muda, tambahan lagi untuknya yang masih bersekolah. Apatah lagi dia akan menduduki peperiksaan besar SPM pada tahun itu.

“Wa, aku tengok kau dah lain. Kau dah pandai layan lelaki kan? Aku tahu kau sukakan Hafiz tapi ingatlah Wa, cinta sejati hanya pada Allah,” Ujar Fiza, sahabat Wardah pada suatu hari.

“Fiza, aku kan masih solat? Lagipun kami berpesan-pesan ke arah kebaikan. Seperti yang dianjurkan Islam,”  balas Wardah, agak teruji.

“Aku rasa kau dah salah konsep, Wa. Dah habis ke perempuan kat sekolah ni? Ramai lagi aku tengok yang tudung ‘pakai buka’, berkepit dengan jantan sana sini, kau tak nak berpesan-pesan ke arah kebaikan untuk tu ke Wa? La taqrabuzzina, janganlah kau mendekati zina. Wa!”

“Aku harap kau janganlah masuk campur. Soal zina, tak perlu kau ingatkan aku. Aku dah cukup faham maksud itu. Kami tak pernah bertemu. Macam mana kami berzina?”

“Kau dulu pernah beri tazkirah soal zina hati. Takkan lupa? Bila hati saling mengingati, aku tengok kau dah lalai! Lagipun, Allah larang kita mendekati zina, bukan melakukan zina. Kau belum terlewat untuk bertaubat. Lupakanlah Wa, apa tak cukupkah Allah sebagai kekasih kau? Dia yang menemani kau siang malam, Yang Maha Mendengar setiap luahan hati?”

Wardah terdiam. Namun baginya ungkapan Fiza hanya mencurah air ke daun keladi. Dia ingin Hafiz menjadi miliknya!




Hafiz menikmati makan malamnya dengan lahap. Hari ini kepenatan menjeratnya kerana terlalu sibuk dengan tugas kepimpinan di sekolahnya. Namun, Hafiz bersyukur diberi peluang sebegitu. Dia tidak mengeluh dengan tugasan seperti itu. Baginya, segala-galanya adalah tanggungjawab yang diamanahkan. Dan tugasnya adalah sebagai pelaksana.

Mungkin hari-hari Hafiz tidak seindah ini jika Wardah tidak menemani hidupnya. Walaupun Hafiz menyedari hakikat bahawa mereka menghampiri zina, Hafiz sentiasa terpukau dengan janji manis Wardah bahawa mereka hanya berkawan. Namun perasaannya sukar ditepis sama sekali. Dia manusia biasa yang tidak mampu menafikan perasaan cinta yang mula bertunas dalam hati.

Telefon hafiz berdering.

Pantas Hafiz menggapai telefon bimbit di meja. Panggilan dari Wardah.

“Hafiz?”

“Ya, saya,”

“Awak sayang saya?”

“Emm, kenapa awak tanya?”

“Saya tanya sebab nak awak jawab,”

“Wardah, awak perempuan terbaik yang saya kenal. Tak mungkin tiada perasaan cinta saya terhadap awak,”

“Awak cintakan saya?”

“Ya, saya cintakan awak,”

Dan malam itu menjadi saksi antara dua jiwa itu. Sesungguhnya begitulah syaitan merasuki kita, secara terang-terangan ia bukanlah cinta yang hina, namun menjebakkan dua insan itu ke alam yang melalaikan.

“Aku nampak semalam kau keluar dengan Ina?” soal Hafiz curiga. Perbuatan sahabatnya, Aiman, menggugat ketenangan dan kewibawaannya sebagai seorang sahabat karib.

“Jadi?” Aiman seolah-olah mencabar Hafiz.

“Aku tak suka. Perkara tu Allah larang,”

“Hafiz...Hafiz! Mentahnya pemikiran kau. Macam mana pula soal hubungan kau dengan Wardah? Kau ingat aku tak tahu? Habis, yang kau bercinta dengan dia tu? Ada Allah suruh?”

“Aiman, kami bercinta cara Islam. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada engkau!”

“Ahh, bercinta secara Islam. Kenapa ramai yang kabur dengan persoalan itu? Bukankah itu tipu daya syaitan. Walaupun aku dengan Ina, aku dan dia tidak hipokrit macam kau! Ketua pengawas apa kau ni? Sebelum kau kata baju orang lain kotor, tengok baju sendiri, itu nasihat aku!” kata Aiman berang sambil berlalu pergi.

Hafiz tertunduk di situ, di sebuah taman berhampiran rumahnya. Dia menundukkan kepalanya. Perlahan-lahan, dia berjalan pulang. Dalam perjalanannya, dia bermuhasabah. Ya Allah, dosakah aku? Aku marah apabila sahabatku menghampiri zina namun aku juga begitu! Aku ke surau namun aku juga menghampiri lembah syaitan. Manusia apakah aku?

Malam itu Hafiz bertahajud. Bermunasabah dan merenungi segala dosa-dosanya. Bagaimana suara Wardah yang mencairkan hatinya, dan bagaimana dia asyik melayari alam percintaan dengan Wardah. Dia senang begitu, bermunajat sendirian dan mengadu pada Allah. Biasanya pada malam-malam begitu masanya dihabiskan dengan menelefon Wardah hingga lewat pagi. Namun malam itu dia selesa menutup telefonnya dan menyerah pada Allah. Malam itu juga dia harus membuat keputusan.

“Eeesh! Mana Hafiz ni! Biasanya dia telefon aku, ni, mesej pun takde! Telefon pulak off! Dia ada perempuan lain ke?” rungut wardah sendirian. Hatinya gelisah. Walaupun jam menunjukkan pukul empat pagi, namun dia setia menunggu Hafiz. Dia mahu tunjukkan pada Hafiz bahawa dia gadis yang sabar, mungkin, Hafiz mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia menerima mesej daripada Hafiz.

“Wa, jangan tipu saya lagi! Cukup sampai di sini hubungan kita!”

Wardah terkesima. Dia buntu, apa yang Hafiz maksudkan? Perlahan-lahan, dia membalas mesej itu.

“Apa maksud awak? Awak tak sayang saya?”

“Sudahlah Wa. Pergilah dari hidup saya. Saya tak perlukan perempuan macam awak lagi!”

Wardah mula menitiskan air mata apabila mesejnya tidak dibalas. Dia beberapa kali menelefon Hafiz tetapi tidak berjawab. Kali ini dia pasti, Hafiz akan meninggalkannya tanpa sebab!

3 bulan berlalu dengan perit. Wardah sedaya upaya melupakan Hafiz. Setiap hari Wardah memeriksa peti e-melnya sejak Hafiz memadam telefonnya. Hafiz pasti akan meninggalkan sesuatu! Hafiz bukan sejahat lelaki lain. Wardah tahu itu semua.

Hinggalah pada suatu hari, Wardah memperoleh berita yang dinanti-nantikan. Terketar-ketar jarinya tatkala membuka e-mel yang bertajuk ‘Nota Cinta’ itu…

Subject:
Nota Cinta
From:
“Hafiz Haikal”
To:
wardah@yahoo.com

Assalamualaikum...

Ke hadapan Wardah, mawar yang dirahmati Allah,

Mungkin semasa awak membuka e-mel ini perasan awak sangat jelik, benci, kecewa dan banyak lagi terhadap saya. Saya faham itu semua, tapi apa saya harus buat, ini saya lakukan semua untuk mencari redha Allah. Saya pun tak tahu nak mula dari mana, tapi saya harap awak faham apa yang saya tulis.

Sebenarnya mesej yang saya hantar pada pagi itu memang dirancang. Mesej itu sengaja saya reka untuk saya jauhkan perasaan cinta saya kepada awak. Mungkin awak terkejut dengan sikap saya, tapi ada makna di sebalik semua tu.

Sebab utama saya hantar mesej macam tu sebab nak biar awak benci kat saya dan menjauhkan diri dari saya. Kenapa saya nak jauhkan diri dari awk? Selama kita menzahirkn rasa cinta dan sayang semenjak tu la hati saya rasa lain. Untuk pengetahuan awak bila saya lafaz sayang dan cinta kepada awak dan awak pula membalasnya saya terasa jiwa saya jauh dari Allah, nafsu syahwat saya naik, rasa ke arah maksiat tu ada walaupun kita tak pernah bersua. Agak remeh kan kalau orang lain baca, tapi untuk saya yang mempunyai iman yg rendah macam-macam boleh jadi kat saya. Mungkin awak sebagai wanita tak rasa keadaan begitu tapi saya seorang lelaki memang menyebabkan saya lemah. Saya takut akan Allah, kekadang saya nasihatkan kawan saya jangan buat benda tu tapi saya buat jugak. Orang pandang saya selalu pakai songkok kat sekolah macam alim, pergi masjid tapi buat benda tu, tak ke saya ni munafik?

Saya sedar apa yang saya buat mendukacitakan hati awk. Hati mana yang boleh terima difitnah begitu. Tapi bila saya buat begitu saya juga rasa berdosa sebab memfitnah wanita yang solehah. tapi apa kan daya desakan hati.

Awak memang wanita hebat, setiap kali awak menceritakan kejayaan awak memang saya cemburu. Kekadang saya fikir kenapa saya tak boleh jadi macam awak. Tapi saya tetap bersyukur dapat kawan dengan awak. Serius saya katakan awak sahajalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya, yang lain cuma kawan biasa, jarang saya berhubung dengan mereka.

Untuk terakhir sekali, perasaan cinta dalam diri saya terhadap awak memang tertanam dalam hati saya, sebab awak cinta pertama saya. Saya tak pernah bercinta. Masalah yang saya hadapi sekarang macam saya katakan di atas tu la. Walaupun agak remeh tapi saya pandang serius terhadap benda ni. Sebab Allah tak redhai sebuah hubungan selain daripada pernikahan. Saya harap dengan penjelasan saya awak akan faham lebih-lebih lagi awak belajar dalam aliran agama. Sekiranya kita ada jodoh tak kan ke mana. Itu janji Allah.


Wassalam..

Ikhlas dari hamba yg mencari redha Allah:
HAFIZ HAIKAL

Malam itu Wardah bersujud, pada Allah dia serahkan diri… Hari-hari dilaluinya dengan redha, tanpa rasa dendam sedikitpun terhadap Hafiz. Nota cinta Hafiz telah mengubah hidupnya. Hinggalah Wardah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar, Mesir.

Wardah merenung jauh ke Tasik Titiwangsa yang damai itu. Dilihatnya pasangan-pasangan muda berpegangan tangan tanpa segan-silu. Dia bermuhasabah dalam hati. Andai satu ketika dulu dia hanyut dibuai cinta dengan Hafiz, pasti gelaran doktor pakar mustahil disandangnya. Sejenak dia memikirkan kata-kata Umminya semalam…

“Wa, bila nak menikah? Ummi teringin nak bermenantu,”

Soalan Ummi itu menggegar tangkai hati Wardah. Kenangan yang cuba diluputkannya bertahun-tahun dahulu kembali mengusik. Jauh di sudut hati, Wardah masih mengharapkan Hafiz yang entah ke mana itu. Dengan menarik nafas panjang,

Wardah menyahut,

“Sesiapa sahaja yang Ummi carikan, dialah jodoh Wardah,”

Wardah merenung cincin perkahwinan di jarinya. Cantik! Sekali pandang Wardah tahu, suaminya pasti dari kalangan orang berada. Hatinya masih berdebar-debar. Sejak akad nikah tadi, dia masih belum melihat wajah suaminya. Walaupun Hafiz berada dalam hatinya, dia redha. Biarlah, pilihan Ummi pasti yang terbaik buatnya. Wardah memejam mata rapat-rapat, ditahan air matanya dari menitis. Dia ingin menjadi bintang timur buat suaminya. Biarlah dia seorang…

“Wardah Alia binti Syukri, sesungguhnya cinta itu lebih indah melalui sebuah ikatan mulia bernama perkahwinan…” Bisik suaminya, suara yang mendamaikan hatinya.
Wardah membuka matanya, dan menatap wajah penaung jiwanya kini...Hafiz Haikal…

~ChOcOLaTe CoKLaT~

Khasiat Coklat

Korang suka makan coklat tak? Mungkin sesetengah orang  suka, tapi mungkin juga ada yang tak berapa suka. Tapi bagi saya sedap! Sebab coklat tu manis..
Siapa yang tak kenal dengan cik coklat? Mestilah kebanyakan daripada kita kenal dia. Tapi, saya nak kenalkan lagi cik coklat ni kepada semua..>_<

Coklat ni kaya dengan antioksidan yang boleh mencegah sakit jantung dan kanser. Kandungannya sama macam dekat dalam teh hijau, jus oren, bayam, bawang, jagung dan pisang (ada antioksidan).

Antioksidan yang wujud bukan setakat melindungi sel-sel dan DNA daripada radikal bebas tapi ia juga menghalang pembentukan bahan lemak yang boleh menyebabkan salur darah jantung tersumbat.
Ada orang cakap, makan coklat ni boleh menggemukkan badan. Sebenarnya, coklat tidak mengemukkan. Tidak ada satu jenis makanan akan menyebabkan gemuk. Ambil makanan berlebihan tu yang meningkatkan kalori. Kalau kalori ini tidak dibakar sebanyak ia diambil, inilah yang menyebabkan kegemukan. Jadi, makanlah coklat dalam kadar yang sederhana, bukan sekadar coklat sahaja ye, malah semua jenis makanan =)

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Universiti Pittsburgh, kajian mendapati coklat tidak menyebabkan migrain seperti yang disangkakan sebelum ini. Mereka yang sering mengalami migrain atau sakit kepala boleh memakannya tanpa risau ia akan menyebabkan sakit kepala.
Malah coklat mengandungi bahan seperti ubat penenang, yang menjadi penahan sakit dan meningkatkan tahap rasa sihat. Coklat mengeluarkan endorphins yang membuatkan  kita rasa gembira =)

Makan coklat pun dikatakan boleh menguatkan sistem pertahanan badan dan boleh mengurangkan risiko jangkitan selsema.
Sesetengah orang kata, coklat boleh menyebabkan jerawat. Sebenarnya, tak. Jerawat disebabkan oleh perubahan hormon dan genetik. Jangan streskan diri, makanlah sahaja coklat tu...Ia boleh tenangkan kita sewaktu stres..=)

Dalam banyak-banyak coklat, coklat hitamlah yang paling bagus untuk kesihatan. Sebab itulah coklat hitam lebih mahal daripada coklat biasa. Sekarang ini, semakin banyak syarikat coklat yang telah mengeluarkan coklat hitam bila dapat tahu yang khasiatnya lebih bagus daripada coklat susu biasa.
Coklat berwarna hitam merupakan sumber tembaga (copper) dan dalam kadar sedikit adalah perlu untuk kesihatan metabolisma dan boleh membantu menghalang penyakit Alzhemier's (penyakit otak yang membuatkan seseorang mudah lupa sehingga gagal menguruskan diri sendiri) dan osteoporosis (penyakit rapuh tulang)..
Di Sebalik Coklat...
Coklat, seperti Ferrerorocher, dibalut rapi dengan bungkusan kertas timah berwarna emas. Kemudian, disimpan pula dalam bungkusan plastik atau yang lebih eksklusif lagi di dalam bekas plastik yang seterusnya di ‘cellotape’ kemas. Ia berharga dan mahal sehinggakan semasa dihidang, pembalutnya masih kekal bagi menjaga kualiti dan rupa coklat tersebut. Siap disusun rapi dan ada juga yang menghias coklat Ferrero Rocher dengan menambah hiasan bunga dan sebagainya. Selain itu, ia juga sesuai dijadikan hadiah =)

Coklat Ferrero Rocher juga mahal harganya menyebabkan tidak semua orang mampu memilikinya. Kena kumpul duit dulu…^_^
Di sebalik fakta itu, Ferroro Rocher juga dapat diumpakan seperti seorang wanita yang sentiasa menjaga auratnya. Ditutup rapi dan kemas agar tidak tercemar maruahnya. Sebab itulah diri wanita ini lebih bernilai kerana maruahnya sentiasa terjaga oleh pakaian yang menutup kesemua auratnya iaitu seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].

Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa", maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,

Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]

Berbalik pula pada cerita coklat tadi...^_^

Berbanding coklat M&M, walaupun ia cantik dan berwarna warni, tetapi apabila tiba masa ia dihidangkan, hanya diletakkan dalam bekas dan dibiarkan terdedah di atas meja. Kemudian, boleh diambil dan dimakan oleh sesiapa dengan begitu sahaja. Berbanding Ferrero Rocher, M&M tidak sesuai dijadikan hadiah >_<

M&M pula boleh diumpamakan seperti seorang wanita yang terdedah auratnya. Aurat yang terdedah menyebabkan maruahnya tercemar dan harga dirinya juga hilang...
 
Jadi, apa pilihan kita?
Hendak jadi seperti cik Ferrero Rocher atau cik M&M?

..Wallahu'alam..

^_^

~BERJALAN TANPA HENTI-DEVOTEES~

(klik sini untuk dengar dan download)

Bagaikan jauh jalan yang ku tempuh
Langkah demi langkah akan ku gagah
Hari demi hari berjalan tanpa henti
Yakinku ada sinar yang menanti

Bila dah bertemu arah
Ku yakin penuh pasrah
Pada-Nya Yang Kuasa dikau berserah

Jika kau rebah jika kau kalah
Bersaksilah rahmat-Nya akan terserlah

Segala kepahitan segala keperitan
Terima bagai penghapus dosa
Malang yang menimpa duka yang melara
Mungkin di baliknya ada bahagia

Jangan jangan berputus asa
Dari rahmat Yang Maha Esa
Jangan jangan kita lupa
Ujian lumrahnya dunia