BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Akhirnya, Facebook-ku TerDelete Jua!


Assalamualaikum.

Apa khabar semua. Wah, sudah lama saya tidak menulis artikel di dalam blog ini. Bukan apa, belakangan ini saya banyak memfokuskan diri kepada bacaan sahaja. Jadi, untuk penulisan, saya kurang beri perhatian. Mengikut apa yang saya pernah baca di suatu artikel pada masa lalu, seseorang itu akan memperbaiki tulisannya melalui bacaannya. Oleh itu, saya sebenarnya sedang melalui proses untuk memantapkan skil penulisan. Oh ya, adakah anda berpendapat bahawa ayat saya ini skema? Ada orang-orang sekeliling saya memberikan pendapat tersebut. Bagi saya, tidak salah jika menggunakan tulisan berbaur 'skema' seperti yang diwar-warkan. Saya lebih suka memandang tulisan yang bahasanya indah. Dunia akan terasa lebih indah jika semua manusia bertutur menggunakan bahasa yang indah-indah. Pasti tiada persengketaan apabila timbul ketidaksefahaman!

Baiklah. Berbalik kepada tajuk besar di atas. Delete Facebook? Ya. Saya sudah melakukannya. Jika ada di kalangan pembaca yang mengenali saya melalui Facebook, saya tidak pasti jika anda pernah membaca pemberitahuan saya untuk memadam akaun Facebook saya pada bulan 12 yang lalu.

Sebenarnya, saya telah lama berhasrat untuk memadam akaun Facebook saya lebih awal dari hari saya betul-betul memadam akaun Facebook tersebut. Tetapi, setelah munculnya Cik Kantan saya tidak sampai hati untuk memadamnya lagi atas sebab-sebab tertentu. Jadi, selepas ini, tidak akan ada lagi facebook yang bernama 'Nur Fadhilah Zaharin' atau 'Cik Kantan'.

Secara umumnya, saya sekadar ingin merehatkan diri daripada Facebook. Tidak sama sekali berniat ingin membelakangkan sesiapa. Mungkin apabila saya telah bersedia nanti, saya akan membuat akaun Facebook yang baru tetapi bukan dengan dua nama yang pernah saya guna sebelum ini dan akaun tersebut hanya sekadar memenuhi keperluan (untuk page,group dll shj). Artikel ini sekadar pemberitahuan buat rakan-rakan saya. Khuatir jika kalian tersalah faham akan tujuan saya memadam akaun Facebook ini.

Namun, terus terang saya nyatakan bahawa saya lebih puas menulis artikel di dalam blog berbanding menulis di status Facebook. Sebabnya, penulisan dalam blog memberi saya ruang yang lebih luas untuk menulis dan menerangkan sesuatu berbanding di status Facebook yang ruang penulisannya lebih terhad. Bila terhad, saya takut mesej yang ingin saya sampaikan itu kurang jelas sehingga menimbulkan salah faham. Sekadar pendapat. Jika tersalah mohon diperbetulkan ya. 

                                                                       
Wallahualam.

0 komen: