BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Ada Apa Dengan Ego?

Ego. 
Apakah sebenarnya ego? Semua manusia ada perasaan egokah? Belakangan ini, saya merasakan ego adalah suatu perasaan yang boleh dianggap pemecah belah. Jika kita melihat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, pernahkah baginda menunjukkan sikap ego?

Cuba renungi semula kisah antara Rasulullah dengan seorang wanita tua yang buta yang menentang ajaran yang dibawa oleh baginda. Selalu sahaja wanita itu mengutuk Rasulullah. Padahal, setiap hari Rasulullah lah yang memberi makan perempuan itu. Selepas baginda wafat, barulah wanita itu sedar akan pertolongan Rasulullah selama ini terhadap dirinya lalu wanita tersebut terus memeluk Islam. Menarikkan? Kejahatan dibalas dengan kebaikan lalu berakhir dengan kebaikan jua. Pernahkah kita mendengar kejahatan jika dibalas dengan kejahatan akan menghasilkan kebaikan? Sudah tentunya tidak bahkan ia mustahil akan berlaku.

Jika dibuang perasaan ego itu, pasti diri kita akan menjadi lebih terbuka. Suka untuk saya mengambil contoh yang berlaku dalam dunia politik kini di mana ramai orang tersalah faham dengan hala tuju yang dibawa. Sikap suka mengkritik dan memperlekeh pemimpin sering terjadi dalam masyarakat kita. Bila melihat seorang pemimpin itu tergolong dalam kelompok politik yang kurang enak pada pandangan mata mereka, mudah sahaja mereka berterusan mengkritik sekalipun pada masa pemimpin itu melakukan kebaikan terhadap diri mereka sendiri. Kebaikan yang diberi pula selalu diberi kesimpulan awal seperti “Hmm, nak bodek lah tu!” “Banyak pula RM yang dia bagi, lepas ini habislah, semua cukai dinaikkannya pula!” Inilah hakikat pemikiran yang sedang menular dalam masyarakat. Budaya ‘positive thinking’ susah sekali hendak diamalkan. ‘Negative thinking’ juga yang menguasai diri. 

Mungkin itu salah satu contohnya. Bagi diri sendiri, cubalah pandang disekeliling kita. Apakah kita bersikap ego. Ego dengan orang yang lebih bawah daripada kita? Ego dengan orang yang lebih muda daripada kita? Atau ego terhadap orang yang selalu merendah diri dengan kita?

Walaupun sikap ego kadang kala sudah sebati dengan diri kita, cubalah kurangkan. Saya sendiri sedang melalui proses yang sama sekalipun ada sahaja waktu yang tidak boleh dielak daripada perasaan ego tersebut. Jika sudah tersedar, cepat-cepatlah meminta maaf kerana kita bukannya sesiapa. Hanya seorang manusia daripada berbillion-billion manusia yang lain. Hanya seorang manusia kecil di alam ini.

Oleh itu, ada apa dengan ego?

Walaupun kita mampu melihat dunia di atas peta, bukan bermakna kita boleh menguasai dunia. Walaupun kita boleh memegang glob bumi, hakikatnya kita tidak akan mampu memegang bumi yang kita sedang berpijak ini. Oleh itu, tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana tiap-tiap yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya. Kita semua sama. Bertapak di bumi yang sama dan berbangkit bersama di akhirat kelak.

Peace yo!
=)


*p/s: Entri ini sama sekali tidak bermaksud atau menyebelahi mana-mana kumpulan politik. Yang baik dijadikan pengajaran, yang buruk dijadikan sempadan.

0 komen: