BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Cheese Cake dan ulasan (comic version)



Assalamualaikum..^^

Pada entri kali ini, saya tertarik untuk mengulas sedikit nilai di dalam komik ini. Apakah nilai itu? Jika dilihat pada sifat pembuat kek pada komik ini, dia terlalu teruja untuk membuat kek sehingga dia kurang mengambil berat akan perkara yang perlu dielakkan. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa apabila kita teruja untuk mendapatkan sesuatu, tak semestinya kita akan mendapatkannya dengan menggunakan cara yang betul kerana keinginan kita untuk memperolehinya dengan lebih cepat boleh mengurangkan mutu kerja kita. Dalam kata lainnya, kita akan gelojoh untuk mendapatkan sesuatu sampai tidak mempedulikan faktor-faktor lain yang boleh menghalang matlamat kita atas sebab kita terlalu yakin dengan dengan diri kita atau istilah lainnya, 'over confident'.

Hal-hal sedemikian boleh berlaku dalam kehidupan seharian kita di mana kita mungkin inginkan sesuatu tetapi dalam tidak sedar cara yang kita gunakan untuk mendapatkannya itu salah. Mungkin sahaja kita boleh menyedari kesalahan yang kita lakukan tetapi demi mencapai matlamat kita, kita sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Contoh menghalalkan yang haram adalah rasuah. Kita sedar bahawa perbuatan yang kita lakukan itu salah tetapi bagi menyelamatkan diri sekaligus mencapai matlamat, kita sanggup berbuat apa sahaja. Inilah antara perkara yang perlu kita berhati-hati dengannya kerana syaitan itu bijak memutarbelitkan fikiran manusia.

Di entri ini juga saya ingin mengulas sedikit mengenai fenomena politik yang sedang rancak berlaku dalam negara ini disebabkan pilihan raya yang akan menjelma tidak lama lagi. Apa yang dilihat kini, pencadang dengan cara mereka dan pembangkang juga dengan cara mereka tersendiri. Semuanya tidak mahu mengalah. Jika pembangkang melakukan kesalahan, pasti pencadang akan menjadikannya suatu isu dan menyebarluaskannya kepada rakyat agar semua rakyat tahu akan kelemahan pembangkang dan begitulah juga sebaliknya. Ada isu kecil dibesarkan. Ada juga isu yang sengaja direka bagi menjatuhkan sesuatu parti. Semuanya demi satu matlamat yang sama iaitu: Memegang tampuk pemerintahan negara.

Persoalannya di sini, adakah cara untuk kita mencapai matlamat itu betul? Apakah tindakan kita dalam membuat sesuatu keputusan berlandaskan emosi semata-mata?

Ada orang apabila memasuki sesebuah parti, semua yang berada di dalam parti itu disokongnya habis-habisan manakala jika sesuatu itu datang dari bukan partinya, dia pula akan membantahnya habis-habisan tanpa memikirkan baik buruknya. 

Saya tertarik apabila membaca status Dr MAZA di facebook beberapa hari yang lepas:

"..manusia yang tidak seimbang bertindak secara perasaan..jika dia pembangkang, semuanya hendak dibangkang..jika dia penyokong semuanya hendak disokong..tanpa memerlukan lagi hujah dan alasan..musnahlah negara apabila banyak rakyat sarat dengan otak yang berkarat.bangkanglah pabila perlu, sokonglah apabila patut..maka negara akan matang dan rakyat akan cemerlang.."
Jadi, itulah peranan kita yang sebenar sebagai rakyat. Sokong dan bangkang apabila perlu. Tidak bertindak mengikut perasaan. Bila masyarakat Islam bijak menilai, barulah Islam akan dihormati. Bukankah itu juga matlamat kita? :)

Bangunlah wahai Muslim, bangun !
Ya..
500 tahun dahulu memang kita tersungkur di bumi..
Tetapi adakah kita memerlukan 500 tahun lagi untuk bangun?
Kita dilahirkan mulia, maka hidup mulia, mati juga sebagai mulia..
Kita perlu bangkit bersama,berjuang bersama..
Gunung sama kita daki, lurah sama kita turuni..
Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing..
Hati kuman sama kita cecah, hati gajah sama kita lapah..
Biar seribu musuh di hadapan,
kita serbu bak badai menggila !
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air..
Apa yang kita tunggu lagi wahai Muslim?
Mara ke depan !
Biar kita mati sebagai pejuang, jangan hidup bernafas sebagai petualang!
Ya Allah,
Pinjamkanlah kami keberanian Umar Al-Khattab,
Ketangkasan Khalid Al-Walid,
Kecekalan Thariq bin Ziyad,
Kekentalan Salahuddin Al-Ayyubi,
Dan ketajaman Sultan Muhammad Al-Fateh,
Satukanlah hati kami sebagai rakyat Malaysia yang bersatu,
Ya Allah..

(Dipetik daripada pidato Abang Ahmad Badrul Sani bin Baharuddin, Master Trainer Az-Zahrah Multi Intelligence Academy dan Murabbi rancangan Adik-adikku dan adik Fasiha, Naib Juara Adik-adikku Musim Ke-2)

Wallahualam.

p/s: Maaf jika komik di atas kurang menarik kerana saya masih tidak tahu menggunakan software terkini untuk membuat efek pada lukisan. Bagi sesiapa yang mahir, sudi-sudikanlah perturun ilmu kepada saya ya..hehe..

0 komen: