BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Hajarul Aswad

HAJARUL Aswad (batu hitam) diyakini sebagai batu syurga. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika jemaah haji dari seluruh pelusuk penjuru dunia selalu merindukannya, bahkan saling berebut hanya kerana ingin menciumnya. Batu hitam itu terletak di sudut Timur Kaabah pada ketinggian 1,10 meter dari lantai Masjidil Haram berukuran panjang 25 cm dan lebar 17 cm.

Sekarang ini, Hajar Aswad pecah menjadi 8 bongkah dan kedelapan bongkahan itu masih tersusun rapi pada tempatnya seperti sekarang. Pecahnya batu itu terjadi pada zaman Qaramithah, iaitu sekte dari Syi'ah Al-Bathiniyyah dari pengikut Abu Thahir Al-Qaramathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada tahun 319 Hijriyah. Tetapi batu itu dikembalikan semula pada tahun 339 Hijriah.


Bahagian yang terbesar berukuran sebuah kurma yang tertanam di batu besar lain dan dikelilingi oleh ikatan perak. Inilah batu yang sentiasa dirindui setiap Muslim dan berusaha untuk dapat menciumnya atau berihtilam (berjabat ketika tawaf). Batu yang terletak dalam lingkaran perak itulah yang diusahakan jemaah haji untuk dapat menciumnya, ertinya bukan batu yang berada di sekitarnya.

Hajarul Aswad pernah mengalami renovasi pada zaman Raja Fahd, iaitu pada bulan Rabiulawal 1422 Hijriah. Setiap tahun menjelang musim haji, batu ini dibersihkan sekaligus dilakukan pencucian Kaabah yang kadang-kadang memberi kesempatan kepada tetamu kerajaan menyaksikan pencucian Kaabah dan membuka peluang mencium Hajarul Aswad.


Dari zaman dulu lagi orang sering berebut mencium batu ini dan sekarang sudah banyak 'joki' yang diupah untuk membantu orang yang akan mencium Hajarul Aswad ini. Jangankan musim Haji, saat Umrah pun yang kadang-kadang tidak ramai orang pun sangat sukar untuk mendekati Hajarul Aswad, tidak kira jam berapa pun. Sekiranya mengupah joki berlakulah rempuhan semata-mata memberi peluang kepada yang membayar.

Sejarah Hajarul Aswad

Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais (sebuah bukit berdekatan Kaabah). Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama-kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang-orang musyrik.

Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam."

(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail a.s bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s.. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?"

Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."

Nabi Ibrahim a.s mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s.. Sehingga sekarang Hajarul Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajarul Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajarul Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat menyatakan bahawa dahulunya batu Hajarul Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang.

Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Hajarul Aswad merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyekutukan Allah s.w.t(menyembah batu)., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah.

Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."