BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Kegetiran Di saat Hijrah

"Kenapa orang selalu pandang sinis pada saya? Saya tahulah saya dulu memang jahat, tapi sekarang saya ikhlas mahu berubah." luah seorang insan pada sahabatnya. Riak wajahnya kelihatan muram.
"Sabar. Hendak berubah memang banyak dugaannya. Paling penting, kamu sendiri kena kuat. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan ingin berubah ke arah kebaikan.”
Inilah antara dilema yang dialami oleh seseorang yang mahu berubah. Bila berubah, dikatakan ‘buang tabiat’ atau ingin ‘berlakon’. Hakikatnya, berubah itu memang susah, tetapi lebih susah untuk mengubah persepsi masyarakat yang tidak senang melihat orang berubah ke arah yang lebih baik.
Manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. Seharusnya orang yang ingin membetulkan kesilapan itu dibantu, bukan dirobohkan lagi cita-citanya yang baru hendak dibina itu.
Sekiranya anda tersepit dengan kondisi seperti ini, teruskan niat dan tekad anda untuk berubah. Jangan fikirkan apa kata orang terhadap kita, tetapi fikirkan apa kata Allah terhadap kita. Carilah sahabat yang mampu mendorong kita untuk berubah, bukan sahabat yang menambah buntu sehingga kita menjadi lemah.
Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran daripada hadis ini:
"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276.
Justeru, berdoalah kepada Allah agar kita sentiasa ditunjukkan jalan yang Allah redhai. Ingatlah, apabila kita benar-benar komited untuk berubah, Allah sendiri yang akan memperlihatkan ‘kebenaran’. Tugas kita adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Setiap orang secara fitrahnya sukakan kebaikan. Oleh itu, perubahan kita ke arah kebaikan kelak akan disenangi oleh mereka di sekeliling kita, malahan makhluk langit juga. Bersangka baiklah kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan kebaikan kepada kita. Amin.