BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Kelahiran Blog Baru : Wadah Tarbiah


Assalamualaikum..

Sudah lama rasanya saya tidak menulis di blog ini. Sebabnya, capaian internet agak kurang elok atas beberapa punca yang berlaku pada laptop saya sendiri. Saya sangka laptop ini terkena virus, rupa-rupanya ada cookies yang perlu saya delete. Nasib baik ayah yang beritahu. Kalau ikutkan saya, saya akan hantar laptop ini untuk diservis di kedai. Huhu..Selain itu, mungkin punca internet menjadi ‘slow’ disebabkan dokumen yang terlampau banyak di download terutama video-video movie. Ayah suruh saya delete sahaja. Wah, tidak sampai hati saya. Saya baru sahaja men’download’ 8 video terbaru yang kebanyakannya adalah filem-filem dari Indonesia. Agak ‘excited’ apabila mengetahui Internet Download Manager boleh digunakan. Hehe.. Walaubagaimanapun, saya tidak akan delete video-video tersebut sehinggalah saya berjaya mendapatkan external suatu hari nanti. Yeah.. Bukan apa, mana mungkin saya hendak delete movie-movie Indonesia yang antaranya ialah Ketika Cinta Bertasbih, Dalam Mihrab Cinta, Hafalan Shalat Delisa dan Sang Pencerah kerana ceritanya semua hebat-hebat belaka. Sarat dengan mesej berguna. 

Di kesempatan ini, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menubuhkan blog yang baru dengan tujuan; mengubah gaya penulisan. Bagi yang ingin terus mengikuti hasil penulisan saya, anda bolehlah beralih ke blog saya yang baru iaitu di www.wadahtarbiah.blogspot.com. Terus menjadi followers saya. Mungkin ada yang tertanya-tanya; mengapa saya tidak hanya mengubah nama blog yang sedia ada ini sahaja? Bukan nama sahaja yang ingin saya ubah, bahkan banyak lagi komponen dalam blog yang ingin saya ubah. Saya mengubah konsep blog baru ini kepada yang simple kerana saya hanya ingin mengekspresikan karya penulisan saya sahaja. Bagi saya lebih mudah untuk mengendalikan blog yang simple kerana saya tidak perlu begitu memikirkan perhiasan-perhiasan di blog tetapi hanya memikirkan kemudahan-kemudahan yang perlu ada dalam blog.

Walaubagaimanapun, terima kasih atas kesudian anda selama ini dalam mengunjungi blog Destinasi Yang Dicari. Dengan penubuhan blog Wadah Tarbiah ini, anda dialu-alukan untuk memberikan komen dan kritikan membina untuk saya memantapkan skil penulisan kerana saya juga mempunyai hasrat dan cita-cita untuk bergelar seorang penulis buku suatu hari nanti. Mudah-mudahan usaha murni yang dilakukan daripada pihak saya dan pembaca dapat merealisasikan impian tersebut.  Amin.

Wassalam.

p/s: Selamat tinggal Destinasi Yang Dicari... Selamat datang Wadah Tarbiah...

Cheese Cake dan ulasan (comic version)



Assalamualaikum..^^

Pada entri kali ini, saya tertarik untuk mengulas sedikit nilai di dalam komik ini. Apakah nilai itu? Jika dilihat pada sifat pembuat kek pada komik ini, dia terlalu teruja untuk membuat kek sehingga dia kurang mengambil berat akan perkara yang perlu dielakkan. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa apabila kita teruja untuk mendapatkan sesuatu, tak semestinya kita akan mendapatkannya dengan menggunakan cara yang betul kerana keinginan kita untuk memperolehinya dengan lebih cepat boleh mengurangkan mutu kerja kita. Dalam kata lainnya, kita akan gelojoh untuk mendapatkan sesuatu sampai tidak mempedulikan faktor-faktor lain yang boleh menghalang matlamat kita atas sebab kita terlalu yakin dengan dengan diri kita atau istilah lainnya, 'over confident'.

Hal-hal sedemikian boleh berlaku dalam kehidupan seharian kita di mana kita mungkin inginkan sesuatu tetapi dalam tidak sedar cara yang kita gunakan untuk mendapatkannya itu salah. Mungkin sahaja kita boleh menyedari kesalahan yang kita lakukan tetapi demi mencapai matlamat kita, kita sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Contoh menghalalkan yang haram adalah rasuah. Kita sedar bahawa perbuatan yang kita lakukan itu salah tetapi bagi menyelamatkan diri sekaligus mencapai matlamat, kita sanggup berbuat apa sahaja. Inilah antara perkara yang perlu kita berhati-hati dengannya kerana syaitan itu bijak memutarbelitkan fikiran manusia.

Di entri ini juga saya ingin mengulas sedikit mengenai fenomena politik yang sedang rancak berlaku dalam negara ini disebabkan pilihan raya yang akan menjelma tidak lama lagi. Apa yang dilihat kini, pencadang dengan cara mereka dan pembangkang juga dengan cara mereka tersendiri. Semuanya tidak mahu mengalah. Jika pembangkang melakukan kesalahan, pasti pencadang akan menjadikannya suatu isu dan menyebarluaskannya kepada rakyat agar semua rakyat tahu akan kelemahan pembangkang dan begitulah juga sebaliknya. Ada isu kecil dibesarkan. Ada juga isu yang sengaja direka bagi menjatuhkan sesuatu parti. Semuanya demi satu matlamat yang sama iaitu: Memegang tampuk pemerintahan negara.

Persoalannya di sini, adakah cara untuk kita mencapai matlamat itu betul? Apakah tindakan kita dalam membuat sesuatu keputusan berlandaskan emosi semata-mata?

Ada orang apabila memasuki sesebuah parti, semua yang berada di dalam parti itu disokongnya habis-habisan manakala jika sesuatu itu datang dari bukan partinya, dia pula akan membantahnya habis-habisan tanpa memikirkan baik buruknya. 

Saya tertarik apabila membaca status Dr MAZA di facebook beberapa hari yang lepas:

"..manusia yang tidak seimbang bertindak secara perasaan..jika dia pembangkang, semuanya hendak dibangkang..jika dia penyokong semuanya hendak disokong..tanpa memerlukan lagi hujah dan alasan..musnahlah negara apabila banyak rakyat sarat dengan otak yang berkarat.bangkanglah pabila perlu, sokonglah apabila patut..maka negara akan matang dan rakyat akan cemerlang.."
Jadi, itulah peranan kita yang sebenar sebagai rakyat. Sokong dan bangkang apabila perlu. Tidak bertindak mengikut perasaan. Bila masyarakat Islam bijak menilai, barulah Islam akan dihormati. Bukankah itu juga matlamat kita? :)

Bangunlah wahai Muslim, bangun !
Ya..
500 tahun dahulu memang kita tersungkur di bumi..
Tetapi adakah kita memerlukan 500 tahun lagi untuk bangun?
Kita dilahirkan mulia, maka hidup mulia, mati juga sebagai mulia..
Kita perlu bangkit bersama,berjuang bersama..
Gunung sama kita daki, lurah sama kita turuni..
Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing..
Hati kuman sama kita cecah, hati gajah sama kita lapah..
Biar seribu musuh di hadapan,
kita serbu bak badai menggila !
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air..
Apa yang kita tunggu lagi wahai Muslim?
Mara ke depan !
Biar kita mati sebagai pejuang, jangan hidup bernafas sebagai petualang!
Ya Allah,
Pinjamkanlah kami keberanian Umar Al-Khattab,
Ketangkasan Khalid Al-Walid,
Kecekalan Thariq bin Ziyad,
Kekentalan Salahuddin Al-Ayyubi,
Dan ketajaman Sultan Muhammad Al-Fateh,
Satukanlah hati kami sebagai rakyat Malaysia yang bersatu,
Ya Allah..

(Dipetik daripada pidato Abang Ahmad Badrul Sani bin Baharuddin, Master Trainer Az-Zahrah Multi Intelligence Academy dan Murabbi rancangan Adik-adikku dan adik Fasiha, Naib Juara Adik-adikku Musim Ke-2)

Wallahualam.

p/s: Maaf jika komik di atas kurang menarik kerana saya masih tidak tahu menggunakan software terkini untuk membuat efek pada lukisan. Bagi sesiapa yang mahir, sudi-sudikanlah perturun ilmu kepada saya ya..hehe..

Gebar Empuk (comic version)

*Sila right klik pada gambar dan klik pada open link in new tab. Klik zoom jika ingin lebih jelas. Selamat Membaca!








*Daripada 'Dipeluk Sehelai Gebar Empuk' karya A Ubaidillah Alias, Gen-Q, Isu 7.

AMPAC-Di sini Pemimpin Muda Dilahirkan!




Assalamualaikum ^^

Saya baru sahaja menggodek website akademi yang pernah saya sertai dahulu sewaktu saya berada di tingkatan tiga. Semangat sewaktu menyertai akademi ini terasa semula. Akademi ini mengajar saya bermacam-macam perkara. Pidato, seni berbicara, teknik berbisnes, teknik belajar, visioning (merangka masa depan) dan mengatur strategi dalam bermain chess. Setakat ini, Ampac telah membuka 4 cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi, Shah Alam, Pulau Pinang dan Kedah.

Walaupun sudah 4 tahun saya meninggalkan akademi ini, keinginan saya untuk menjenguk pusat akademi ini tetap ada. Pengalaman di situ banyak mengajar saya. Mana taknya, dahulu saya diarah untuk berpidato di sebuah pusat beli belah bersama rakan-rakan yang lain. Waktu itu, saya amat mengagumi pidato yang disampaikan oleh sahabat saya yang berketurunan Thailand. Pada mulanya, sahabat saya ini agak pemalu orangnya. Tetapi setelah dibenarkan baginya untuk berpidato menggunakan bahasa Thailand, semangat dan keyakinan dirinya muncul tatkala orang ramai mengagumi kunikan yang dibawa olehnya. 

Sehingga kini, saya masih mengagumi sifu saya iaitu Abang Badr (Ahmad Badrul Sani) yang telah mengajar saya teknik untuk berbicara di khalayak ramai. Saya mengenali sifu ketika sifu masih berusia 25 tahun. Pada usia yang muda itu, sifu telah mampu menghasilkan buku dan sifu juga telah pergi ke banyak sekolah untuk menyampaikan ceramah. Kini, sifu sudah menjadi salah seorang murabbi dalam rancangan Adik-adikku. Sifu juga banyak menulis buku. Kata-kata sifu iaitu 'It's All About Your Mind!' sering menerjah ruang pemikiran saya di saat saya kurang yakin untuk melakukan sesuatu perkara. Arigatou Gozaimasu sifu!

Pidato salah seorang anak didik Abang Badr diselangi pidato Abang Badr sendiri

Kempen 'Selamatkan Gaza' yang pernah dianjurkan oleh akademi ini merupakan salah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Laungan semangat pabila pidato Palestin disampaikan melonjakkan rasa sayang dan cinta pada bumi Palestin. 

Terima kasih AMPAC!

AMPAC CORPORATE VIDEO


*~Sabar Itu Indah~* (comic version)

*Sila right klik dan klik pada open link in new tab. Klik zoom jika ingin lebih jelas. Selamat Membaca!

Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Oleh itu, bila ditimpa masalah, tenang dan bersabarlah. Jangan merumitkan masalah tetapi carilah jalan keluar daripada masalah tersebut. ^^

Allah SWT berfirman:

"Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu. Tetaplah bersiap-siaga (di perbuatan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung."

(Surah Ali 'Imran 3: 200)

* ~ Ketahuilah, Pujian itu Sebenarnya Bukan Untuk Kita...




Assalamualaikum. ^^

Cak! Cak! Apa khabar semua? Harapnya sihat-sihat sahaja.

Beberapa hari yang lepas, bonda tercinta menelefon saya. Senang hati bila berbual dengan bonda. Bonda mengingatkan saya yang mudah lupa ini dengan suatu perkara yang kadang-kadang saya terlepas pandang. Alhamdulillah, terima kasih bonda.

Seperti yang tertera pada tajuk di atas, bonda menceritakan perihal pujian. Kupasan pujian ini diterima bonda sewaktu beliau menghadiri suatu ceramah berdekatan dengan kawasan perumahan kami.

Dalam hidup ini, banyak perkara dalam diri seseorang yang selalu dipuji orang. Misalnya, jika seseorang itu cantik, "Awak ni cantiklah. Sejuk hati saya bila memandang awak." Ataupun jika seseorang itu comel, "Comelnya awak ni, bila saya dah kahwin nanti saya nak anak yang comel macam awaklah." Hehe.. ^^

Pernahkah anda dipuji sebegitu rupa? Siapa tak suka kalau dipuji. Kucing liar juga kalau selalu dibelai, akan jinak juga. Namun, pujian kalau disalah guna akan memberi impak yang tidak baik. Contohnya, apabila seseorang itu berpakaian tidak menutup aurat, kita teruji dan tertarik dengan kecantikan yang lahir daripada pakaiannya yang tidak menutup aurat itu lalu kita memujinya. Pujian itu membuatkan dirinya bertambah mahu untuk memakai pakaian tersebut. Maka, bertambah-tambahlah juga dosanya. Inilah salah satu pujian yang digunakan bukan pada tempatnya.

Bagaimana pula jika pujian yang digunakan pada tempatnya? Seperti memuji seseorang itu pandai, baik dan sebagainya? Ketahuilah, pujian itu sebenarnya bukan untuk kita tetapi untuk Allah. Sebab apa? Kerana Allah yang mencipta kita. Kagumlah dengan apa yang telah Allah kurniakan buat kita. Dialah yang membuatkan kita pandai. Dialah yang membuatkan kita cantik. Jika Allah tidak mengizinkan, bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semula kurnia yang diberikan kepada kita.

Gambar hiasan
Oleh itu, janganlah apabila kita dipuji, kita merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain sehingga kita pula merasakan diri kita sahaja yang betul lalu menafikan apa yang ada pada orang lain itu juga adalah baik. Bersederhanalah. Kurnia yang diberi-Nya akan hilang juga suatu hari nanti. Bila mati sudah menjemput, tiada apa yang mahu dibanggakan lagi. Sekadar perkongsian dan peringatan buat semua dan diri saya sendiri.

Wassalam. ^^




Ada Apa Dengan Ego?

Ego. 
Apakah sebenarnya ego? Semua manusia ada perasaan egokah? Belakangan ini, saya merasakan ego adalah suatu perasaan yang boleh dianggap pemecah belah. Jika kita melihat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, pernahkah baginda menunjukkan sikap ego?

Cuba renungi semula kisah antara Rasulullah dengan seorang wanita tua yang buta yang menentang ajaran yang dibawa oleh baginda. Selalu sahaja wanita itu mengutuk Rasulullah. Padahal, setiap hari Rasulullah lah yang memberi makan perempuan itu. Selepas baginda wafat, barulah wanita itu sedar akan pertolongan Rasulullah selama ini terhadap dirinya lalu wanita tersebut terus memeluk Islam. Menarikkan? Kejahatan dibalas dengan kebaikan lalu berakhir dengan kebaikan jua. Pernahkah kita mendengar kejahatan jika dibalas dengan kejahatan akan menghasilkan kebaikan? Sudah tentunya tidak bahkan ia mustahil akan berlaku.

Jika dibuang perasaan ego itu, pasti diri kita akan menjadi lebih terbuka. Suka untuk saya mengambil contoh yang berlaku dalam dunia politik kini di mana ramai orang tersalah faham dengan hala tuju yang dibawa. Sikap suka mengkritik dan memperlekeh pemimpin sering terjadi dalam masyarakat kita. Bila melihat seorang pemimpin itu tergolong dalam kelompok politik yang kurang enak pada pandangan mata mereka, mudah sahaja mereka berterusan mengkritik sekalipun pada masa pemimpin itu melakukan kebaikan terhadap diri mereka sendiri. Kebaikan yang diberi pula selalu diberi kesimpulan awal seperti “Hmm, nak bodek lah tu!” “Banyak pula RM yang dia bagi, lepas ini habislah, semua cukai dinaikkannya pula!” Inilah hakikat pemikiran yang sedang menular dalam masyarakat. Budaya ‘positive thinking’ susah sekali hendak diamalkan. ‘Negative thinking’ juga yang menguasai diri. 

Mungkin itu salah satu contohnya. Bagi diri sendiri, cubalah pandang disekeliling kita. Apakah kita bersikap ego. Ego dengan orang yang lebih bawah daripada kita? Ego dengan orang yang lebih muda daripada kita? Atau ego terhadap orang yang selalu merendah diri dengan kita?

Walaupun sikap ego kadang kala sudah sebati dengan diri kita, cubalah kurangkan. Saya sendiri sedang melalui proses yang sama sekalipun ada sahaja waktu yang tidak boleh dielak daripada perasaan ego tersebut. Jika sudah tersedar, cepat-cepatlah meminta maaf kerana kita bukannya sesiapa. Hanya seorang manusia daripada berbillion-billion manusia yang lain. Hanya seorang manusia kecil di alam ini.

Oleh itu, ada apa dengan ego?

Walaupun kita mampu melihat dunia di atas peta, bukan bermakna kita boleh menguasai dunia. Walaupun kita boleh memegang glob bumi, hakikatnya kita tidak akan mampu memegang bumi yang kita sedang berpijak ini. Oleh itu, tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana tiap-tiap yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya. Kita semua sama. Bertapak di bumi yang sama dan berbangkit bersama di akhirat kelak.

Peace yo!
=)


*p/s: Entri ini sama sekali tidak bermaksud atau menyebelahi mana-mana kumpulan politik. Yang baik dijadikan pengajaran, yang buruk dijadikan sempadan.

*~Video~*


Assalamualaikum. ^^


 Hold My Hand

 

 Open Your Eyes.


Insya Allah.

 

 Palestine Will Be Free.

 
Kalau anda perasan, pada setiap video, ada ditulis Teen-Q. Dahulu, saya ingin menumbuhkan medan tersebut dengan menghasilkan video-video nasyid. Namun, hasrat tersebut terkubur apabila saya mula bekerja. Masa yang sedikit menghalangi saya selepas itu.
Sekadar berkongsi. Jika anda ingin berkongsi video-video ini, silakanlah.Yang baik daripada Pencipta, yang buruk daripada yang dicipta.

Wassalam.

Langkah Tercipta-UNIC

Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
  Mimpi yang sering ku harapkan menjadi kenyataan,
Namun tak kesampaian.

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam..lemah daya,
Haruskah aku mengerang namun jiwa
Ku berbisik "Inilah dugaan"

Dan mataku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan (menguji keimanan)
Tak dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
Pimpinlah diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan...
Agar mimpi jadi nyata...
padaMu ku meminta

Daku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu
 

Akhirnya, Facebook-ku TerDelete Jua!


Assalamualaikum.

Apa khabar semua. Wah, sudah lama saya tidak menulis artikel di dalam blog ini. Bukan apa, belakangan ini saya banyak memfokuskan diri kepada bacaan sahaja. Jadi, untuk penulisan, saya kurang beri perhatian. Mengikut apa yang saya pernah baca di suatu artikel pada masa lalu, seseorang itu akan memperbaiki tulisannya melalui bacaannya. Oleh itu, saya sebenarnya sedang melalui proses untuk memantapkan skil penulisan. Oh ya, adakah anda berpendapat bahawa ayat saya ini skema? Ada orang-orang sekeliling saya memberikan pendapat tersebut. Bagi saya, tidak salah jika menggunakan tulisan berbaur 'skema' seperti yang diwar-warkan. Saya lebih suka memandang tulisan yang bahasanya indah. Dunia akan terasa lebih indah jika semua manusia bertutur menggunakan bahasa yang indah-indah. Pasti tiada persengketaan apabila timbul ketidaksefahaman!

Baiklah. Berbalik kepada tajuk besar di atas. Delete Facebook? Ya. Saya sudah melakukannya. Jika ada di kalangan pembaca yang mengenali saya melalui Facebook, saya tidak pasti jika anda pernah membaca pemberitahuan saya untuk memadam akaun Facebook saya pada bulan 12 yang lalu.

Sebenarnya, saya telah lama berhasrat untuk memadam akaun Facebook saya lebih awal dari hari saya betul-betul memadam akaun Facebook tersebut. Tetapi, setelah munculnya Cik Kantan saya tidak sampai hati untuk memadamnya lagi atas sebab-sebab tertentu. Jadi, selepas ini, tidak akan ada lagi facebook yang bernama 'Nur Fadhilah Zaharin' atau 'Cik Kantan'.

Secara umumnya, saya sekadar ingin merehatkan diri daripada Facebook. Tidak sama sekali berniat ingin membelakangkan sesiapa. Mungkin apabila saya telah bersedia nanti, saya akan membuat akaun Facebook yang baru tetapi bukan dengan dua nama yang pernah saya guna sebelum ini dan akaun tersebut hanya sekadar memenuhi keperluan (untuk page,group dll shj). Artikel ini sekadar pemberitahuan buat rakan-rakan saya. Khuatir jika kalian tersalah faham akan tujuan saya memadam akaun Facebook ini.

Namun, terus terang saya nyatakan bahawa saya lebih puas menulis artikel di dalam blog berbanding menulis di status Facebook. Sebabnya, penulisan dalam blog memberi saya ruang yang lebih luas untuk menulis dan menerangkan sesuatu berbanding di status Facebook yang ruang penulisannya lebih terhad. Bila terhad, saya takut mesej yang ingin saya sampaikan itu kurang jelas sehingga menimbulkan salah faham. Sekadar pendapat. Jika tersalah mohon diperbetulkan ya. 

                                                                       
Wallahualam.

Cabaran Awal Asrama dan Tips-tips Menghadapinya


Bismillahirrahmanirrahim..

Memilih antara dua pilihan bukanlah perkara yang mudah.Begitulah yang terjadi kepada diri saya kira-kira 3 tahun lalu di mana saya mempunyai dua pilihan selepas memperoleh tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ketika itu, saya membuat satu catatan yang membuat perbandingan antara yang mana lebih baik sama ada meneruskan pelajaran di sekolah harian atau di sekolah asrama. Bagi sekolah harian, tiada masalah untuk saya menulis mengenai kelebihan dan kekurangan mengenainya kerana saya memang sudah terbiasa dengan rutin sekolah harian. Bagi sekolah asrama, saya mencatatkan pengetahuan yang agak terhad berdasarkan apa yang orang lain telah cerita kepada saya.

Hasil daripada catatan tersebut, saya mendapati sekolah asrama lebih banyak memberi kebaikan kepada saya walaupun sekolah yang saya duduki ketika itu telah banyak memberi saya pengalaman yang membuatkan saya terbiasa dengan suasana yang saya lalui hari-hari.
Namun begitu, suka untuk saya mengingatkan kepada adik-adik untuk membuat pilihan yang tepat kerana ia mempengaruhi masa depan adik-adik. Di samping itu, buatlah solat sunat istikharah agar Allah memberi petunjuk kepada adik-adik untuk membuat pilihan yang paling baik.

Jika adik-adik sudah tekad dengan pendirian untuk memilih sekolah asrama, berikut adalah perkara-perkara yang adik-adik bakal hadapi apabila memulakan langkah sebagai pelajar asrama serta tips-tips bagi menghadapi perkara-perkara tersebut.

1. Minggu orientasi

Seperti sebelum ini yang adik-adik juga mungkin pernah lalui, pelajar baru akan menjalani minggu orientasi. Ketika ini, adik-adik harus mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal kerana di sepanjang minggu ini, banyak aktiviti akan dijalankan oleh pihak sekolah. Apabila berasa penat, jangan cepat mengeluh, sebaliknya cuba tenangkan diri dengan memikirkan perkara-perkara yang selepas ini adik-adik ingin lakukan yang memberi boleh memberi semangat kepada diri adik-adik. Sentiasalah berfikiran positif kerana ianya akan banyak membantu adik-adik. Terimalah apa jua aktiviti dengan hati terbuka. Yakinlah pada potensi diri sendiri. Tunjukkan potensi dan bakat yang ada pada diri kerana ia akan memberi semangat kepada adik-adik.

2. 'Homesick'  

Istilah 'homesick' sememangnya sinonim dengan pelajar yang baru masuk ke asrama. Jika sebelum ini diri adik-adik mengatakan "Aku sanggup meneruskan hidup tanpa ibu bapaku di sisiku" "Aku berani untuk hadapi kehidupan asrama" "Aku sanggup tinggalkan rumahku/kesenanganku" namun jangan terkejut jika semuanya berubah saat ibu bapa dan semua ahli keluarga meninggalkan adik-adik keseorangan. 

Mungkin di saat ini perasaan itu belum lagi timbul tetapi, percayalah perasaan itu bakal mendatangi adik-adik di saat ibu dan bapa melepaskan adik-adik. Tiada lagi mereka sebagai peneman yang membantu dan menguruskan kehidupan adik-adik. Tiada lagi masakan ibu yang selalu adik-adik nikmati. Tiada lagi kelibat bapa yang baru pulang dari kerja. Tiada lagi sentuhan salaman dan kucupan daripada ibu dan bapa. Mengenangkan perkara-perkara inilah yang membuatkan adik-adik terasa sebak lalu menitiskan air mata.

Tidak salah jika begitu. Ia perkara normal. Tetapi janganlah sampai berterusan dan boleh mengganggu kehidupan adik-adik. Jika terasa rindu akan ibu dan bapa, hubungilah mereka. Tetapi, ingat! Jangan terlalu kerap kerana apabila terlalu kerap, bayangan rumah juga akan selalu menerpa dalam fikiran adik-adik. Hal inilah yang akan menguatkan keinginan adik-adik untuk balik ke rumah sekalipun rumah adik-adik itu jauh. Fikirkan kesannya. Pasti adik-adik akan menyusahkan ibu bapa bukan? Cukuplah sekadar satu minggu tiga kali atau setiap hari satu kali untuk menghubungi ibu bapa di rumah.

Mungkin pada awalnya, sesetengah daripada adik-adik ingin menghubungi ibu bapa dengan kerap tetapi rasa itu perlu dihilangkan kerana ia akan mempengaruhi emosi adik-adik sewaktu belajar dan percayalah, rasa itu akan dapat dihilangkan sekiranya adik-adik menyibukkan diri dengan pelbagai urusan dan aktiviti. Oleh itu, adik-adik harus bergiat aktif dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah asal tidak mengganggu pelajaran adik-adik.

3. Menghadapi 'senior'

Ini lagi satu istilah yang sangat popular dalam kehidupan berasrama. Hal ini jugalah yang sering memberi dilema dalam kehidupan pelajar yang baru masuk asrama. Jika ingin diceritakan, memang banyak kisah dan tidak kurang juga kes yang melibatkan konflik antara pelajar senior dan junior. Namun, tips yang saya ingin berikan ini hanyalah merujuk kepada perkara-perkara yang tidak terlalu besar konteksnya.

Tanamlah sedikit rasa rendah diri dalam diri adik-adik apabila berhadapan dengan senior. Memang sesetengah daripada kita menafikannya kerana ada asrama yang mana jarak umur antara senior dan juniornya tidak terlalu jauh. Mungkin bezanya sekadar setahun dua sahaja. Namun begitu, tidak rugi sekiranya adik-adik melakukan perkara begitu. 

Cuba adik-adik renungkan sejenak kata-kata indah yang dicoretkan oleh Ibnu Atha'llah ini:

"Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana tiap-tiap yang tumbuh tetapi tidak ditanam,maka tidak sempurna hasil buahnya."

Jika ditegur oleh senior berkenaan perkara-perkara yang tidak sepatutnya adik-adik lakukan, maka terimalah ia sebagai pendorong adik-adik. Jangan fikir ia adalah kritikan dan kutukan hebat buat diri adik-adik. Mungkin cara teguran ini juga akan berbeza. Ada senior yang suka kritik depan-depan dan ada juga yang suka menyindir. Apapun caranya terimalah ia dengan hati terbuka melainkan sekiranya sampai satu tahap adik-adik dikritik dengan tidak ada penjelasan dan sebabnya atau mungkin sahaja adik-adik dibuli dengan begitu teruk, barulah adik-adik melakukan tindakan yang lain iaitu mengadu dan meminta nasihat daripada guru atau rakan-rakan lain yang boleh dipercayai.

Jika ada waktu itu dimana adik-adik terasa berat dengan ujian yang ditimpakan Allah kepada adik-adik, cepat-cepatlah mohon petunjuk daripada Allah, agar dibukakan penghadang yang menghalang laluan adik-adik. Disebalik peristiwa ada hikmahnya. Walau apa jua, bersyukurlah atas ujian yang ditimpakan ke atas diri adik-adik. Saat itu, Allah menyayangi diri adik-adik. Dia rindu mendengar rintihan daripada adik-adik. Seringlah bermuhasabah diri kerana ia akan mengukuhkan laluan adik-adik pada masa akan datang. Yakinlah. Insya Allah.
Semoga adik-adik tetap berada di jalan-Nya dan berjaya menempuhi segala dugaan dan rintangan bagi merealisasikan impian untuk sampai ke destinasi kejayaan.

Wallahualam. ^ ^