BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

* ~ Ketahuilah, Pujian itu Sebenarnya Bukan Untuk Kita...




Assalamualaikum. ^^

Cak! Cak! Apa khabar semua? Harapnya sihat-sihat sahaja.

Beberapa hari yang lepas, bonda tercinta menelefon saya. Senang hati bila berbual dengan bonda. Bonda mengingatkan saya yang mudah lupa ini dengan suatu perkara yang kadang-kadang saya terlepas pandang. Alhamdulillah, terima kasih bonda.

Seperti yang tertera pada tajuk di atas, bonda menceritakan perihal pujian. Kupasan pujian ini diterima bonda sewaktu beliau menghadiri suatu ceramah berdekatan dengan kawasan perumahan kami.

Dalam hidup ini, banyak perkara dalam diri seseorang yang selalu dipuji orang. Misalnya, jika seseorang itu cantik, "Awak ni cantiklah. Sejuk hati saya bila memandang awak." Ataupun jika seseorang itu comel, "Comelnya awak ni, bila saya dah kahwin nanti saya nak anak yang comel macam awaklah." Hehe.. ^^

Pernahkah anda dipuji sebegitu rupa? Siapa tak suka kalau dipuji. Kucing liar juga kalau selalu dibelai, akan jinak juga. Namun, pujian kalau disalah guna akan memberi impak yang tidak baik. Contohnya, apabila seseorang itu berpakaian tidak menutup aurat, kita teruji dan tertarik dengan kecantikan yang lahir daripada pakaiannya yang tidak menutup aurat itu lalu kita memujinya. Pujian itu membuatkan dirinya bertambah mahu untuk memakai pakaian tersebut. Maka, bertambah-tambahlah juga dosanya. Inilah salah satu pujian yang digunakan bukan pada tempatnya.

Bagaimana pula jika pujian yang digunakan pada tempatnya? Seperti memuji seseorang itu pandai, baik dan sebagainya? Ketahuilah, pujian itu sebenarnya bukan untuk kita tetapi untuk Allah. Sebab apa? Kerana Allah yang mencipta kita. Kagumlah dengan apa yang telah Allah kurniakan buat kita. Dialah yang membuatkan kita pandai. Dialah yang membuatkan kita cantik. Jika Allah tidak mengizinkan, bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semula kurnia yang diberikan kepada kita.

Gambar hiasan
Oleh itu, janganlah apabila kita dipuji, kita merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain sehingga kita pula merasakan diri kita sahaja yang betul lalu menafikan apa yang ada pada orang lain itu juga adalah baik. Bersederhanalah. Kurnia yang diberi-Nya akan hilang juga suatu hari nanti. Bila mati sudah menjemput, tiada apa yang mahu dibanggakan lagi. Sekadar perkongsian dan peringatan buat semua dan diri saya sendiri.

Wassalam. ^^




Ada Apa Dengan Ego?

Ego. 
Apakah sebenarnya ego? Semua manusia ada perasaan egokah? Belakangan ini, saya merasakan ego adalah suatu perasaan yang boleh dianggap pemecah belah. Jika kita melihat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, pernahkah baginda menunjukkan sikap ego?

Cuba renungi semula kisah antara Rasulullah dengan seorang wanita tua yang buta yang menentang ajaran yang dibawa oleh baginda. Selalu sahaja wanita itu mengutuk Rasulullah. Padahal, setiap hari Rasulullah lah yang memberi makan perempuan itu. Selepas baginda wafat, barulah wanita itu sedar akan pertolongan Rasulullah selama ini terhadap dirinya lalu wanita tersebut terus memeluk Islam. Menarikkan? Kejahatan dibalas dengan kebaikan lalu berakhir dengan kebaikan jua. Pernahkah kita mendengar kejahatan jika dibalas dengan kejahatan akan menghasilkan kebaikan? Sudah tentunya tidak bahkan ia mustahil akan berlaku.

Jika dibuang perasaan ego itu, pasti diri kita akan menjadi lebih terbuka. Suka untuk saya mengambil contoh yang berlaku dalam dunia politik kini di mana ramai orang tersalah faham dengan hala tuju yang dibawa. Sikap suka mengkritik dan memperlekeh pemimpin sering terjadi dalam masyarakat kita. Bila melihat seorang pemimpin itu tergolong dalam kelompok politik yang kurang enak pada pandangan mata mereka, mudah sahaja mereka berterusan mengkritik sekalipun pada masa pemimpin itu melakukan kebaikan terhadap diri mereka sendiri. Kebaikan yang diberi pula selalu diberi kesimpulan awal seperti “Hmm, nak bodek lah tu!” “Banyak pula RM yang dia bagi, lepas ini habislah, semua cukai dinaikkannya pula!” Inilah hakikat pemikiran yang sedang menular dalam masyarakat. Budaya ‘positive thinking’ susah sekali hendak diamalkan. ‘Negative thinking’ juga yang menguasai diri. 

Mungkin itu salah satu contohnya. Bagi diri sendiri, cubalah pandang disekeliling kita. Apakah kita bersikap ego. Ego dengan orang yang lebih bawah daripada kita? Ego dengan orang yang lebih muda daripada kita? Atau ego terhadap orang yang selalu merendah diri dengan kita?

Walaupun sikap ego kadang kala sudah sebati dengan diri kita, cubalah kurangkan. Saya sendiri sedang melalui proses yang sama sekalipun ada sahaja waktu yang tidak boleh dielak daripada perasaan ego tersebut. Jika sudah tersedar, cepat-cepatlah meminta maaf kerana kita bukannya sesiapa. Hanya seorang manusia daripada berbillion-billion manusia yang lain. Hanya seorang manusia kecil di alam ini.

Oleh itu, ada apa dengan ego?

Walaupun kita mampu melihat dunia di atas peta, bukan bermakna kita boleh menguasai dunia. Walaupun kita boleh memegang glob bumi, hakikatnya kita tidak akan mampu memegang bumi yang kita sedang berpijak ini. Oleh itu, tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana tiap-tiap yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya. Kita semua sama. Bertapak di bumi yang sama dan berbangkit bersama di akhirat kelak.

Peace yo!
=)


*p/s: Entri ini sama sekali tidak bermaksud atau menyebelahi mana-mana kumpulan politik. Yang baik dijadikan pengajaran, yang buruk dijadikan sempadan.