BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Akhirnya, Facebook-ku TerDelete Jua!


Assalamualaikum.

Apa khabar semua. Wah, sudah lama saya tidak menulis artikel di dalam blog ini. Bukan apa, belakangan ini saya banyak memfokuskan diri kepada bacaan sahaja. Jadi, untuk penulisan, saya kurang beri perhatian. Mengikut apa yang saya pernah baca di suatu artikel pada masa lalu, seseorang itu akan memperbaiki tulisannya melalui bacaannya. Oleh itu, saya sebenarnya sedang melalui proses untuk memantapkan skil penulisan. Oh ya, adakah anda berpendapat bahawa ayat saya ini skema? Ada orang-orang sekeliling saya memberikan pendapat tersebut. Bagi saya, tidak salah jika menggunakan tulisan berbaur 'skema' seperti yang diwar-warkan. Saya lebih suka memandang tulisan yang bahasanya indah. Dunia akan terasa lebih indah jika semua manusia bertutur menggunakan bahasa yang indah-indah. Pasti tiada persengketaan apabila timbul ketidaksefahaman!

Baiklah. Berbalik kepada tajuk besar di atas. Delete Facebook? Ya. Saya sudah melakukannya. Jika ada di kalangan pembaca yang mengenali saya melalui Facebook, saya tidak pasti jika anda pernah membaca pemberitahuan saya untuk memadam akaun Facebook saya pada bulan 12 yang lalu.

Sebenarnya, saya telah lama berhasrat untuk memadam akaun Facebook saya lebih awal dari hari saya betul-betul memadam akaun Facebook tersebut. Tetapi, setelah munculnya Cik Kantan saya tidak sampai hati untuk memadamnya lagi atas sebab-sebab tertentu. Jadi, selepas ini, tidak akan ada lagi facebook yang bernama 'Nur Fadhilah Zaharin' atau 'Cik Kantan'.

Secara umumnya, saya sekadar ingin merehatkan diri daripada Facebook. Tidak sama sekali berniat ingin membelakangkan sesiapa. Mungkin apabila saya telah bersedia nanti, saya akan membuat akaun Facebook yang baru tetapi bukan dengan dua nama yang pernah saya guna sebelum ini dan akaun tersebut hanya sekadar memenuhi keperluan (untuk page,group dll shj). Artikel ini sekadar pemberitahuan buat rakan-rakan saya. Khuatir jika kalian tersalah faham akan tujuan saya memadam akaun Facebook ini.

Namun, terus terang saya nyatakan bahawa saya lebih puas menulis artikel di dalam blog berbanding menulis di status Facebook. Sebabnya, penulisan dalam blog memberi saya ruang yang lebih luas untuk menulis dan menerangkan sesuatu berbanding di status Facebook yang ruang penulisannya lebih terhad. Bila terhad, saya takut mesej yang ingin saya sampaikan itu kurang jelas sehingga menimbulkan salah faham. Sekadar pendapat. Jika tersalah mohon diperbetulkan ya. 

                                                                       
Wallahualam.

Cabaran Awal Asrama dan Tips-tips Menghadapinya


Bismillahirrahmanirrahim..

Memilih antara dua pilihan bukanlah perkara yang mudah.Begitulah yang terjadi kepada diri saya kira-kira 3 tahun lalu di mana saya mempunyai dua pilihan selepas memperoleh tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ketika itu, saya membuat satu catatan yang membuat perbandingan antara yang mana lebih baik sama ada meneruskan pelajaran di sekolah harian atau di sekolah asrama. Bagi sekolah harian, tiada masalah untuk saya menulis mengenai kelebihan dan kekurangan mengenainya kerana saya memang sudah terbiasa dengan rutin sekolah harian. Bagi sekolah asrama, saya mencatatkan pengetahuan yang agak terhad berdasarkan apa yang orang lain telah cerita kepada saya.

Hasil daripada catatan tersebut, saya mendapati sekolah asrama lebih banyak memberi kebaikan kepada saya walaupun sekolah yang saya duduki ketika itu telah banyak memberi saya pengalaman yang membuatkan saya terbiasa dengan suasana yang saya lalui hari-hari.
Namun begitu, suka untuk saya mengingatkan kepada adik-adik untuk membuat pilihan yang tepat kerana ia mempengaruhi masa depan adik-adik. Di samping itu, buatlah solat sunat istikharah agar Allah memberi petunjuk kepada adik-adik untuk membuat pilihan yang paling baik.

Jika adik-adik sudah tekad dengan pendirian untuk memilih sekolah asrama, berikut adalah perkara-perkara yang adik-adik bakal hadapi apabila memulakan langkah sebagai pelajar asrama serta tips-tips bagi menghadapi perkara-perkara tersebut.

1. Minggu orientasi

Seperti sebelum ini yang adik-adik juga mungkin pernah lalui, pelajar baru akan menjalani minggu orientasi. Ketika ini, adik-adik harus mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal kerana di sepanjang minggu ini, banyak aktiviti akan dijalankan oleh pihak sekolah. Apabila berasa penat, jangan cepat mengeluh, sebaliknya cuba tenangkan diri dengan memikirkan perkara-perkara yang selepas ini adik-adik ingin lakukan yang memberi boleh memberi semangat kepada diri adik-adik. Sentiasalah berfikiran positif kerana ianya akan banyak membantu adik-adik. Terimalah apa jua aktiviti dengan hati terbuka. Yakinlah pada potensi diri sendiri. Tunjukkan potensi dan bakat yang ada pada diri kerana ia akan memberi semangat kepada adik-adik.

2. 'Homesick'  

Istilah 'homesick' sememangnya sinonim dengan pelajar yang baru masuk ke asrama. Jika sebelum ini diri adik-adik mengatakan "Aku sanggup meneruskan hidup tanpa ibu bapaku di sisiku" "Aku berani untuk hadapi kehidupan asrama" "Aku sanggup tinggalkan rumahku/kesenanganku" namun jangan terkejut jika semuanya berubah saat ibu bapa dan semua ahli keluarga meninggalkan adik-adik keseorangan. 

Mungkin di saat ini perasaan itu belum lagi timbul tetapi, percayalah perasaan itu bakal mendatangi adik-adik di saat ibu dan bapa melepaskan adik-adik. Tiada lagi mereka sebagai peneman yang membantu dan menguruskan kehidupan adik-adik. Tiada lagi masakan ibu yang selalu adik-adik nikmati. Tiada lagi kelibat bapa yang baru pulang dari kerja. Tiada lagi sentuhan salaman dan kucupan daripada ibu dan bapa. Mengenangkan perkara-perkara inilah yang membuatkan adik-adik terasa sebak lalu menitiskan air mata.

Tidak salah jika begitu. Ia perkara normal. Tetapi janganlah sampai berterusan dan boleh mengganggu kehidupan adik-adik. Jika terasa rindu akan ibu dan bapa, hubungilah mereka. Tetapi, ingat! Jangan terlalu kerap kerana apabila terlalu kerap, bayangan rumah juga akan selalu menerpa dalam fikiran adik-adik. Hal inilah yang akan menguatkan keinginan adik-adik untuk balik ke rumah sekalipun rumah adik-adik itu jauh. Fikirkan kesannya. Pasti adik-adik akan menyusahkan ibu bapa bukan? Cukuplah sekadar satu minggu tiga kali atau setiap hari satu kali untuk menghubungi ibu bapa di rumah.

Mungkin pada awalnya, sesetengah daripada adik-adik ingin menghubungi ibu bapa dengan kerap tetapi rasa itu perlu dihilangkan kerana ia akan mempengaruhi emosi adik-adik sewaktu belajar dan percayalah, rasa itu akan dapat dihilangkan sekiranya adik-adik menyibukkan diri dengan pelbagai urusan dan aktiviti. Oleh itu, adik-adik harus bergiat aktif dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah asal tidak mengganggu pelajaran adik-adik.

3. Menghadapi 'senior'

Ini lagi satu istilah yang sangat popular dalam kehidupan berasrama. Hal ini jugalah yang sering memberi dilema dalam kehidupan pelajar yang baru masuk asrama. Jika ingin diceritakan, memang banyak kisah dan tidak kurang juga kes yang melibatkan konflik antara pelajar senior dan junior. Namun, tips yang saya ingin berikan ini hanyalah merujuk kepada perkara-perkara yang tidak terlalu besar konteksnya.

Tanamlah sedikit rasa rendah diri dalam diri adik-adik apabila berhadapan dengan senior. Memang sesetengah daripada kita menafikannya kerana ada asrama yang mana jarak umur antara senior dan juniornya tidak terlalu jauh. Mungkin bezanya sekadar setahun dua sahaja. Namun begitu, tidak rugi sekiranya adik-adik melakukan perkara begitu. 

Cuba adik-adik renungkan sejenak kata-kata indah yang dicoretkan oleh Ibnu Atha'llah ini:

"Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana tiap-tiap yang tumbuh tetapi tidak ditanam,maka tidak sempurna hasil buahnya."

Jika ditegur oleh senior berkenaan perkara-perkara yang tidak sepatutnya adik-adik lakukan, maka terimalah ia sebagai pendorong adik-adik. Jangan fikir ia adalah kritikan dan kutukan hebat buat diri adik-adik. Mungkin cara teguran ini juga akan berbeza. Ada senior yang suka kritik depan-depan dan ada juga yang suka menyindir. Apapun caranya terimalah ia dengan hati terbuka melainkan sekiranya sampai satu tahap adik-adik dikritik dengan tidak ada penjelasan dan sebabnya atau mungkin sahaja adik-adik dibuli dengan begitu teruk, barulah adik-adik melakukan tindakan yang lain iaitu mengadu dan meminta nasihat daripada guru atau rakan-rakan lain yang boleh dipercayai.

Jika ada waktu itu dimana adik-adik terasa berat dengan ujian yang ditimpakan Allah kepada adik-adik, cepat-cepatlah mohon petunjuk daripada Allah, agar dibukakan penghadang yang menghalang laluan adik-adik. Disebalik peristiwa ada hikmahnya. Walau apa jua, bersyukurlah atas ujian yang ditimpakan ke atas diri adik-adik. Saat itu, Allah menyayangi diri adik-adik. Dia rindu mendengar rintihan daripada adik-adik. Seringlah bermuhasabah diri kerana ia akan mengukuhkan laluan adik-adik pada masa akan datang. Yakinlah. Insya Allah.
Semoga adik-adik tetap berada di jalan-Nya dan berjaya menempuhi segala dugaan dan rintangan bagi merealisasikan impian untuk sampai ke destinasi kejayaan.

Wallahualam. ^ ^