BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Ratu Syahadah~Asiah binti Muzahim


Engkaulah permaisuri di mahligai tirani
Teguh imanmu walau tersembunyi
Kasihmu kau buktikan sebagai isteri
Namun cintamu untuk Ilahi

Engkau masih isteri yang sejati
Ketika suami dimurka Allah
Istana bukan penjara nikmat yang alpa
Sinar imanmu tak kelam permata
Kau miliki jiwa hamba
Walau di sisimu singgahsana

Sejarah Asiah telah membuktikan
Iman bukanlah penjara di jiwa
Yang selamanya bersembunyi
Tapi kemerdekaan yang hakiki
Yang punya wajah dan jua rupa
Akhirnya imanmu bersuara
Lantas kau dipenjara dan diseksa
Oleh suamimu yang dihina

Di kejauhan istana keangkuhan
Menggamit mata sayunya di jiwa
Namun hatimu tak sudi ke sana
Iman dan akidah lebih utama
Ratu syahadah lalu bermadah
Oh Tuhan binakan istana untukku
Walaupun di dunia ku diseksa
Namun tak terbayar nikmat di syurga

Oh Asiah kau merubah rencana
Bila tanganmu menyentuh bayi
Yang hanyut menongkah arus Sungai Nil
Lembutmu mematahkan keangkuhannya
Firaun merancang kau menghalangnya
Musa terbuang jadi terbilang

Ya Allah…Ya Allah…

Senilagu: Putra Aiman (Hijjaz Records Sdn. Bhd.)
Senikata : Pahrol Md. Juoi (Hijjaz Records Sdn. Bhd.)
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

p/s: jika anda ingin mendengar lagu ini, tekan play pada video yang terdapat di akhir entri ini. ^_^


Di negeri Mesir pada suatu ketika dahulu, ada sebuah keluarga yang  terkenal sebagai keluarga yang baik-baik iaitu keluarga Imran. Keluarga Imran mempunyai seorang anak gadis yang bernama Asiah. Asiah adalah seorang yang warak dan taat kepada Allah. Selain mempunyai budi pekerti yang baik, Asiah juga memiliki rupa paras yang cantik. Tidak hairanlah sekiranya banyak lelaki yang jatuh hati kepadanya. Personaliti hebat beliau menjadi bualan orang pada ketika itu sehinggalah pada suatu hari, bualan ini juga sampai pada pengetahuan Firaun, raja Mesir yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Perkhabaran menarik ini membuatkan Firaun mahu memperisterikan Asiah lantas Firaun mengutuskan seorang menterinya, Haman untuk merisik Asiah.
Walaupun keinginan itu disambut baik oleh kedua ibu bapa Asiah, namun Asiah menolak lamaran tersebut. Kenyataan bahawa Firaun mempunyai harta yang sangat banyak langsung tidak dipeduli oleh Asiah kerana beliau tahu, Firaun adalah raja yang angkuh dan zalim.
Penolakan lamaran itu sampai ke pengetahuan Firaun menyebabkan dia menjadi marah sehingga bertindak keras terhadap Asiah. Firaun kemudiannya menyampaikan surat perintah melalui utusannya untuk menangkap kedua-dua ibu bapa Asiah. Ibu bapa Asiah diseksa dan dirantai serta diperlakukan secara kasar dan dikurung dalam penjara. Betapa kejamnya Firaun!
Melihat kepada perlakuan zalim Firaun kepada kedua-dua ibu bapanya, Asiah tidak punyai pilihan lain. Beliau tidak rela melihat kedua ibu bapanya terus diseksa. Asiah terpaksa akur menerima pinangan Firaun tetapi dengan bersyarat iaitu kedua-dua ibu bapanya perlu dibebaskan seterusnya disediakan untuk mereka tempat tinggal yang lengkap dan selesa. Firaun juga diminta supaya memberikan jaminan bagi menjaga kesihatan ibu bapanya di samping makan dan minum mereka.
Selepas Firaun bersetuju dengan semua syarat yang dikehendaki Asiah, akhirnya mereka berkahwin.

Menjaga Akidah dan Kehormatan Diri
Biarpun bergelar isteri kepada Firaun yang zalim, Asiah tidak gentar dalam melakukan ibadat kepada Allah. Tanpa pengetahuan Firaun, Asiah sentiasa beribadat dengan mengerjakan solat dan memohon pertolongan dari Allah. Beliau sentiasa berdoa supaya kehormatannya tidak disentuh oleh sesiapa termasuk suaminya sendiri.
Allah mendengar doa Asiah yang berada dalam cengkaman manusia yang zalim lalu Allah menciptakan iblis yang menyerupai Asiah. Iblislah yang menggantikan Asiah pada setiap malam dan ketika bergaul dengan Firaun. Oleh sebab itu, perkahwinan Firaun dan Asiah tidak dikurniakan dengan cahaya mata.
Mendapat Putera Bakal Nabi
Sungai Nil
Suatu hari, Firaun bermimpi, Mesir ditimpa bencana kebakaran dan penduduknya mati melainkan bani Israel. Firaun memerintahkan ahli nujumnya supaya menafsirkan mimpi yang dialaminya itu. Mengikut firasat ahli nujum Firaun itu, kuasa negara yang diperintah oleh Firaun akan jatuh ke tangan seorang lelaki  daripada kalangan bani Israel. Menurut ahli nujum itu juga, seorang lelaki daripada bani Israel akan lahir dan lelaki itu akan menjatuhkan kekuasaan Firaun. Firaun berasa sangat takut dengan penafsiran mimpinya itu lantas dia memerintahkan kepada askar-asarnya supaya semua bayi lelaki yang baru lahir dibunuh hidup-hidup.  
Seorang ibu bernama Yukabad berasa gelisah kerana bimbang bayi lelakinya akan dibunuh oleh Firaun. Ibu yang bernama Yukabad ini adalah ibu kepada Nabi Musa. Kelahiran Nabi Musa dirahsiakan kerana beliau begitu bimbang dengan keselamatan Nabi Musa.
Askar-askar Firaun kemudiannya datang menggeledah rumah Yukabad. Nabi Musa diletakkan di dalam tempat pembakar roti bagi mengaburi pandangan mereka.
Ternyata Alah menyelamatkan Nabi Musa daripada terbakar. Namun, oleh sebab risau akan keselamatan anaknya, apabila Nabi Musa mencecah umur tiga bulan, Yukabad menghanyutkan bayinya ke Sungai Nil. Kakak Nabi Musa mengintip ke mana adiknya yang terapung di sungai itu dibawa arus. Kuasa Allah Yang Maha Agung, Nabi Musa yang dihanyutkan itu ditemui oleh Asiah ketika beliau sedang mandi.
Atas sifat keibuannya dan keinginannya untuk memiliki cahaya mata, Asiah membawa bayi itu pulang ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi lelaki, Firaun dengan tidak teragak-agak menghunuskan pedang bagi membunuh Nabi Musa. Namun, Asiah meminta kepada Firaun supaya tidak membunuh bayi itu kerana dia ingin menjadikan bayi tersebut sebagai anak angkat kerana Asiah sendiri tidak mempunyai anak. Setelah mendengar permintaan daripada Asiah itu, Firaun menjadi tidak sampai hati untuk membunuhnya.
Kasih Sayang Ibu
Selepas mendapat keizinan daripada Firaun bagi membela Nabi Musa, Asiah pun mendapatkan pengasuh. Namun begitu, tidak ada seorang pengasuh pun dapat mendodoikan dan mententeramkan Nabi Musa dengan baik, malah Nabi Musa tetap menangis tanpa henti dan tidak mahu disusukan.
Akhirnya, Yukabad sendiri tampil bagi memberikan susu kepadanya. Nabi Musa terus sahaja berhenti menangis apabila berada dalam pangkuan ibunya yang sebenar. Oleh itu, Yukabad diterima sebagai pengasuh bagi mengasuh dan membesarkan anaknya sendiri di istana Firaun.
Tanda Kenabian
Pada suatu hari, Firaun mendukung Nabi Musa yang masih kanak-kanak. Tiba-tiba, janggutnya ditarik sehingga dia kesakitan. Lalu dia pun menyatakan kepada Asiah yang berkemungkinan kanak-kanak ini yang bakal menjatuhkan kekuasaannya. Asiah menyuruh Firaun supaya bersabar kerana menurutnya, Musa hanya kanak-kanak kecil yang belum berakal dan tidak tahu apa-apa pun. Firaun kemudiannya meminta Asiah membuktikan kata-katanya, lalu diletakkannya emas dan api di hadapan Nabi Musa. Dengan kuasa Allah, tangan Nabi Musa mencapai api. Firaun yang melihat kejadian itu berasa lega kerana pada hematnya, tidak mungkin kanak-kanak itu yang akan menggugat kekuasannya.
Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa, Musa tinggal di istana itu sehinggakan orang memanggilnya dengan nama Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi oleh keluarga Firaun iaitu ‘Mu’ bermakna air dan ‘sa’ bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.
Syahid Seorang Wanita
Selama 40 tahun, Asiah merahsiakan keimanannya daripada Firaun. Pada suatu ketika, Firaun membunuh Mashitah dan anaknya dengan memasukkan mereka ke dalam kawah yang menggelegak airnya. Mashitah adalah isteri kepada seorang pegawai yang begitu dipercayai oleh Firaun yang bernama Hazaqil. Namun begitu, Hazaqil sebelumnya telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Firaun sendiri setelah Hazaqil menyatakan keimanannya atas ajaran Nabi Musa.
Asiah sedaya upaya membela Mashitah di saat Mashitah dibunuh oleh Firaun sehingga akhirnya Firaun mengetahui perihal keimanan Asiah. Menyedari keimanan Asiah kepada Allah, Firaun lantas memerintahkan supaya beliau diseksa dengan segala bentuk seksaan. Namun begitu, Asiah tetap teguh dengan keimanannya.
Firaun yang terkenal dengan kezalimannya itu lalu memerintahkan supaya memaku tubuh Asiah dengan empat buah pasak yang diperbuat daripada besi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran, Allah berkata, “Dan Firaun yang mempunyai pasak-pasak (paku-paku) yang sudah berbuat sesuka hati dalam negeri.” Surah Al-Fajr, ayat 10 hingga ayat 11.
Firaun menyeru Asiah supaya murtad, namun Asiah mengatakan yang Firaun hanya dapat menyeksa dirinya sahaja sedangkan dirinya berada dalam jagaan Allah. Biarpun tubuhnya diseksa, namun keimanannya tidak berkurang bahkan kecintaannya kepada Allah semakin bertambah dan mendalam. Asiah pada saat kematiannya berdoa, “Ya Allah, Ya Tuhanku, bangunkanlah untuk aku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam syurga.”
Pada saat Asiah hampir dibunuh oleh Firaun, Allah Yang Maha Kuasa sudah pun membukakan hijab-Nya lalu Asiah dapat melihat rumahnya di syurga sebelum beliau dibunuh. Ternyata Asiah tergolong dalam orang yang beruntung sebagaimana janji Allah.
-Tamat-

Rujukan cerita : 10 Tokoh Idola Muslimah



Hayati apa yang terkandung dalam lirik nasyid ini kerana nasyid ini menceritakan kisah Asiah



0 komen: