BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sejarah Pembinaan Kaabah (Baitullah)



Sejarah ibadah haji di Tanah Suci Mekah bermula ketika Nabi Adam as diperintahkan turun ke bumi oleh Allah swt. Sejurus beberapa ketika berada di muka bumi, Allah swt memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit. Baitul Makmur adalah tempat ibadat para penghuni langit mengerjakan ibadat tawaf sepertimana yang dilakukan oleh penghuni bumi di Baitulullah(Rumah Allah). Baitul Makmur terletak di langit ketujuh.
Firman Allah dalam surah al-Imran (96) bermaksud,

"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula sekali dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia."

Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Mekah dipilih sebagai tempat pembinaan Kaabah kerana kedudukannya selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat. Diibaratkan bahawa jika Baitul Makmur jatuh ke muka bumi, maka ia akan terhempap ke Baitullah di Mekah disebabkan kesejajarannya itu.

Baitul Makmur adalah tempat khusus yang dicipta Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy.

Hal ini kerana kawasan Arasy sangatlah luas dan sekiranya melakukan tawaf di situ, waktu tawaf itu mungkin menjangkau hingga ke hari kiamat.

Sebelum terciptanya Baitul Makmur, para malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Allah Yang Maha Agung.

Selepas Nabi Adam wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith untuk membina semula Kaabah di tempat sama.

Kemudian, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh,telah meruntuhkan binaan Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina semula Kaabah.

Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir besar pada zaman Nabi Nuh itu.

Hal ini disebut dalam firman Allah dalam surah al-Hajj (26 dan 27),

"Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud."

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan yang jauh."

Firman Allah lagi dalam ayat 29 bermaksud,

"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah yang tua sejarahnya itu."

Nabi Ibrahim membina Kaabah daripada batu yang didapatkan dari tujuh bukit di sekitar kota Makkah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadah haji.

Beberapa ratus tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, usaha membaik-pulih dan membina semula Kaabah telah dilaksanakan secara berterusan.

Antaranya membaiki kerosakan tanpa mengubah bentuk atau ukuran Kaabah oleh kaum Analagh. Kaabah juga dibina semula oleh puak Jurhum selepas sebahagian dinding Kaabah runtuh kerana banjir besar di Kota Makkah.

Selepas itu, Kaabah dibaiki lagi dengan membuat pintu serta pemasangan kelambu Kaabah oleh seorang raja dari Yaman, pembinaan bumbung Kaabah semasa pemerintahan Qusai bin Kilab, pembinaan semula Kaabah oleh Kaum Quraisy dengan berpandukan batu asas hasil binaan Nabi Ibrahim.

Kaabah sebelum dan selepas dipasangkan kelambu (Ghilaaf)

Kerja membaiki Kaabah diteruskan oleh panglima Hajjaj pada zaman Khalifah Abdul Malik dan pembinaan semula Kaabah pada 1037 berikutan kerosakan yang dialami akibat banjir besar di Kota Makkah.

0 komen: